Selasa, 6 Oktober 2009

Selasa, 21 Julai 2009

UPSR

Jika sejarah diwajibkan dalam UPSR, mengapa pendidikan Islam tidak diwajibkan.

Isnin, 4 Mei 2009

2. Mengapa perlu diwajibkan?

Pendidikan Islam sepatutnya diwajibkan dalam peperiksaan UPSR, adalah sesuatu yang aneh wajib belajar tetapi tidak diwajibkan dalam peperiksaan penting UPSR. Keputusan ujian Perkara Asas Fardu Ain (PAFA) yang dimasukkan dalam UPSR dengan catatan ‘lulus ujian lisan dan amali’ bukanlah ukuran dan niliain yang tepat, malah perlaksanaan adalah terlalu longgar dan ia perlu dikaji semula.

Subjek pendidikan Islam adalah serampang pelbagai mata dari segi akademik dan agama. Di dalamnya mempunyai unsur nilai-nilai murni dan moral yang tinggi dalam membentuk akhlak dan sahsiah pelajar, malah asas agama seperti akidah, ibadat, sirah dan fardu ain mencakupi ilmu dunia dan bertalian hingga ke akhirat.

Alasan mereka yang berpandangan bahawa Pendidikan Islam sudah diwajibkan peperiksaan di sekolah menengah, alasan ini adalah sudah terlambat untuk merubah keperibadian pelajar. Pepatah melayu kalau hendak melentur buluh biarlah ketika rebungnya, sudah cukup bagi mereka yang benar-benar memahaminya. Jika kita merujuk kepada sumber Al-Quran dan As-Sunnah ia menjadi semakin benar dan jelas, bahawa akhlak, nilai murni perlu dipupuk dari awal untuk mengukur tahap pencapaiannya. Ini kerana subjek Pendidikan Islam secara tidak langsung dapat membentuk nilai murni seseorang.




Untuk membentuk nilai murni ia wajib melalui proses ujian peperiksaan sebagai ukuran awal. Jika mengharap nilai akhlak murni sahaja tanpa diwajibkan subjek agama (mengandungi nilai murni) ia akan menjadi sia-sia terutama peringkat rendah, ia tidak boleh berdikari sendiri tanggungjawab terhadap agama dan bangsa.
Kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tinggi sebagai hujjah , ….keterampilan diri selepas sekolah menengah dan ijazah, cari bidang pekerjaan, buka terletak sehelai ijazah. Oleh yang demikian pemupukan seharus berlaku dibangku sekolah rendah amat wajar dititiberatkan segera.
Ekoran tidak diwajibkan dalam peperiksaan, pengabaian yang dianggap kecil ia telah menyumbang timbulnya pelbagai masalah dan disiplin dikalangan remaja sekolah dan masalah sosial nanti.



3. Pekara Asas Fardu Ain (PAFA)

Perkara Asas Fardu Ain (PAFA) yang dilaksanakan hari ini adalah amat baik, namun ujiannya dan pelaksanaan adalah terlalu longgar. Ini disebabkan ujian dijalankan oleh guru agama sekolah itu sendiri dan keesahan masih diragui. Antara tenaga ujian PAFA adalah guru kelas sendiri atau guru sekolah terbabit. Jika kita merujuk sistem pentaksiaran, pengukuran dan penilaian dalam peperiksaan, ia jauh tidak menepati kehendak peperiksaan sebenar.

LULUS atau GAGAL ujian PAFA dalam UPSR akan dicatat dalam slip keputusan peperiksaan UPSR. Adakah wajar ujian dikehendaki lulus 100 % murid dikehendaki dan diwajibkan LULUS walau pun ada yang lemah? Jika GAGAL wajib bersebab, contoh ada surat pengesahan doktor menyatakan sakit kronik dan sebagainya. Jika tidak alasan yang kukuh dikehendaki LULUS 100% walau pun ada murid yang lemah (gagal). Jika dibuat keputusan GAGAL tanpa sebab dan alasan, sudah pasti guru pendidikan Islam dan Guru Besar pula kena bagi tunjuk sebab mengapa berlaku. Untuk menyenangkan proses pengurusan peperiksaan dan permudah segala keadaan perkataan ‘LULUS’ adalah jalan selamat.
Jika PAFA ini sudah jadi bukti dan alasan mencukupi untuk mengganti peperiksaan dalam UPSR, ia perlu berapa perubahan dan syarat untuk keesahannya. Antara paling minima yang dicadangkan ialah lulus dengan cemerlang, lulus dengan kepujian dan lulus sahaja.

Ujian hendaklah secara sistematik tidak semata-mata menaruh kepercayaan guru dan sekolah terbabit sahaja. Contoh guru yang dilantik khas membuat ujian dan sebagainya.


4. Kesan jika diwajibkan
4.1. Kesan Jangka pendek

 Jika diwajibkan kita akan melihat kesan segera atau jangka pendek, pelajar akan belajar bersunguh-sunguh dan berusaha mempelajari dan meminatinya kerana mahu lulus dalam peperiksaan UPSR.

 Guru-guru agama juga akan bersemangat mengajar dan memberi tumpuan sepenuh dan sama-sama bersaing dengan guru mata pelajaran lain yang subjek diwajibkan

 Guru Besar dan pentadbiran sekolah akan mengambil perhatian subjek pendidikan Islam sama dalam hal ini. Sesetengah sekolah pada Tahun 6, subjek ini diganti dengan mata pelajaran lain supaya dapat memberi tumpuan kepada akademik semata-mata. Kadangkala guru agama bertolak ansur memandangkan pentingkan peperiksaan UPSR semata-mata.

 Ibubapa juga akan turut sama memberi perhatian terutama pelajaran agama ini, ibubapa sanggup berkorban apa sahaja demi kejayaan anak-anak dan maruahnya, selama ini ibubapa mengenepikan agama kerana tidak wajib dalam peperiksaan

4.2. Kesan Jangka Pertengahan

 Apabila pelajar ke sekolah menengah ia akan lebih senang mempelajari kerana tumpuan telah diberi perhatian ketika sekolah rendah. Bab atau bahagian yang lemah di sekolah rendah dahulu dapat diperbaiki dan dipertingkatkan.

 Guru-guru pendidikan Islam di sekolah menengah nanti mudah menangani dan mengenalpasti masalah pelajar berdasarkan prestasi di sekolah rendah.


4.3. Kesan Jangka panjang

 Melahir pelajar yang berakhlak dan mempunyai nilai sahsiah murni kesan penumpuan dari sekolah rendah lagi. Hasil ini dapat mengurangkan masalah sosial dikalangan pelajar remaja peringkat menengah dan universiti

 Guru Pendidikan Islam juga dapat merancang dengan bersemangat dan tanggungjawab lebih bermakna; dianggap serampang tiga mata, akademik, agama dan nilai moral

 Paling minima dapat melahirkan masyarakat yang berakhlak dan peribadi mulia hasil asas agama ditekan peringkat rendah serta dapat mengurang masalah sosial dalam masyarakat nanti.

Inilah adalah sebahagian kesan kebaikan yang dapat dinyatakan, Jika dikaitkan dalam pembelajaran konsep sekolah bestari, sahsiah akhlak dan moral dititikberatkan, namun pemupukan sewajarnya dari sekolah rendah apabila di peringkat menengah, baru hendak diwajibkan subjek pendidikan Islam adalah terlewat. Oleh yang demikian dari peringkat akar umbi iaitu sekolah rendah amat penting. Cabaran dan masalah tidak diwajibkan menyebabkan guru agama terpaksa berkempen habis-habisan supaya minat belajar agama, menyedarkan murid pentingnya agama. Pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran di ajar termasuk dengan cara teknologi maklumat (ICT) terkini. Namun dari pihak yang lain tiada sokongan padu walaupun menyedari kepentingan agama.

Pun begitu ia tidak mematah semangat sama sekali guru-guru agama, malah ia sebagai satu cabaran dan ujian menyampaikan Islam. Cuma, kadangkala ada sebahagian kecil sahaja kerana guru agama juaga adalah manusia biasa bukan semua bersemangat demikian.

Kesan-kesan sampingan, apabila diwajibkan ia akan banyak manfaat dari pelbagai segi kepada pelajar, guru-guru, ibubapa dan masyarakat, pengiktirafan pendidikan agama Islam sama penting dengan mata pelajaran lain.




5. Bagaimana pelajar bukan Islam?
Ia bukan suatu masalah atau penghalang jika UPSR hendak diwajibkan. Pelbagai pilihan boleh diselesaikan, contoh cadangan;
i. Kekal sebagaimana biasa 5 subjek, hanya pelajar Islam sahaja jadi 6 subjek tambah pendidikan Islam
ii. Mengambil Pendidikan Moral, mungkin terlalu mudah tetapi boleh diubahsuai oleh pengukuran dan penilaian dalam peperiksaan.
iii. Subjek ‘Terbuka’ kepada pelajar bukan Islam mengambilnya asalkan kebenaran ibubapa dan selagi tidak ada percanggahan agama dan perpaduan kaum.
Ini adalah contoh sahaja, mungkin guru-guru pakar, guru cemerlang dan berpengalaman dan pakar yang mahir dalam bidang kurikulum dari Kementerian Pelajaran ini lebih arif dan bijaksana bagaimana menyelesaikannya.

6. Alternatif lain subjek Pendidikan Islam sekiranya mengganggu UPSR pada Tahun 6.

Subjek Pendidikan Islam boleh diduduki peperiksaannya semasa darjah lima, sebagaimana Ujian Penilaian Darjah 5, semasa tahun 70an dahulu. Bahagian peperiksaan boleh dibuat penilaian peperiksaan lebih baik dan sistematik, malah lebih baik dapat dibahagikan kepada kertas akidah, ibadat, sirah, bahasa arab, jawi, hadis dan Al-Quran. Contoh, Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) atau sebagainya serta dikeluarkan sijil yang mempunyai nilai setaraf UPSR, sepertimana contoh STAM (Sijil Tinggi Agama). Ia juga tidak mengganggu semasa UPSR di tahun 6. Secara tidak langsung, dalam kesempatan ini juga j-QAF memainkan peranan penting dan jadi ukuran dan penilaian keberkesanan semasa darjah 5 ini. Buktikan bantuan program j-QAF benar-benar memperkasakan pendidikan Islam.

Seandainya alternatif ini hendak dilaksanakan, negara kita masih ramai lagi graduan lulusan universiti dalam dan luar negeri dalam bidang pengajian Islam, sumber tenaga manusia dalam bidang ini mencukupi. Ilmu dan kepakaran boleh dimanfaatkan kepada negara, secara tidak langsung ia dapat mengurangkan lambakan penganggur dalam bidang pengajian Islam di negara kita.

7. Isu Bahasa Arab seketika dulu

Usaha pembelajaran Bahasa Arab disambut baik oleh guru agama dan cuba dilaksanakan bermula tahun 1998 lagi, namun pelaksanaan hari ini belum mencapai objektif atau sasaran matlamat yang sebenarnya, ada sekolah yang melaksanakan pengajaran Bahasa Arab mengikut budibicara Guru Besar dan ada sekolah tidak melaksanakan kerana tidak ada pekeliling yang wajar atau sebenar untuk diikuti. Walaupun projek Bahasa Arab adalah rintis, namun telah banyak peruntukan kerajaan dibelanjakan dengan keluaran buku teks dan sebagainya. Waktu atau masa pembelajaran Bahasa Arab dan elaun turut juga dipersoalkan.
Niat dan usaha yang baik tetapi terlalu banyak masalah yang terpaksa dihadapi menyebabkan Bahasa Arab menjadi kesukaran mencapai kejayaan yang diharapkan. Harapan Bahasa Arab pula dimasukkan dalam j-QAF benar-benar berhasil dan impak positif nanti. Namun yang dikhuatiri program j-QAF ini akan menjadi seperti perlaksanaan Bahasa Arab seketika dahulu.

8. Program j-QAF

Program ini juga amat baik, secara rintis 2004 dan dilaksanakan pada tahun 2005 secara beperingkat-peringkat. Semasa cadangan ini ditulis, program j-QAF sehingga pada tahun 2009 pelbagai isu-isu j-QAF menjadi rumit perlaksanaannya, dibicarakan dan menjadi cabaran bagi guru-guru pendidikan Islam dan guru-guru akademik lain dilibatkan sama, pihak pentadbiran, guru besar dan jabatan pelajaran bertungkus lumus mencari jalan penyelesaiannya mengikut situasi sekolah masing-masing.

Namun sebahagian besar guru-guru pendidikan Islam menyambut baik program j-QAF ini kerana dapat membantu dalam kurikulum pendidikan Islam dan memperkasakan syiar Islam. Ia juga sebagai sokongan dan pemulihan kepada murid yang tercicir dalam pendidikan Islam. Pun begitu, setakat program baik tetapi tidak diwajibkan dalam peperiksaan utama (penguatkuasaan) contoh UPSR. Sejauhmanakah kejayaan dan pencapaiannya, kita akan sama-sama lihat hasilnya nanti, semoga berjaya.




9. IT dalam Pendidikan Islam

Selain dari program j-QAF, Bahagian Teknologi Pendidikan telah meningkatkan usaha dalam Pembinaan Pendidikan Bestari berjuta ringgit membuat IT pendidikan Islam sekolah rendah adalah usaha murni, namun sejauhmanakah keberkesanannya jika subjek ini tidak diwajibkan. Perisian teknologi canggih tetapi tidak diaplikasikan sepenuhnya, alasan sebab ‘tidak diwajibkan’ dalam peperiksaan utama UPSR ia akan berkurangan sambutannya nanti.

Ringkasnya, apa jua program yang baik dan canggih teknologi, guru terlatih atau kehebatan guru pakar dalam pendidikan Islam, jika tidak dibantu atau sokongan peperiksaan utama (diwajibkan) ia sukar mencapai keberkesanan sama ada dalam kurikulum atau sahsiah pelajar itu sendiri.

10. Cadangan Pengajaran Hadis

Pengajaran Hadis atau Sunnah Nabi Muhammad S.A.W tidak dimasukkan secara khusus dalam kurikulum pendidikan Islam di sekolah rendah.Apakah rasionalnya tidak perlu dipelajari subjek hadis peringkat rendah? Semakan semula kurikulum perlu dikaji; sedangkan hadis dan sunnah merupakan sumber hukum kedua selepas Al-Quran. Pada pandangan saya seolah-olah murid hanya pelajari Al-Quran (Wahyu Allah SWT) sahaja dan Al-Hadis (Sunah Nabi Muhammad SAW) diketepikan. Sepatutnya beberapa hadis yang mempunyai pengajaran dan pembelajaran dalam kehidupan walaupun beberapa matan hadis sahaja sementara pelajaran ilmu mustalah hadis pula di peringkat menengah.

11. Kesimpulan

Segala perubahan sukatan dalam kurikulum pelajaran, program-program dan lain-lain di peringkat sekolah rendah bagi subjek Pendidikan Islam ia akan mengalami kesukaran mencapai sasaran, falsafah pendidikan Islam atau matlamatnya selagi ia tidak diwajibkan dalam peperiksaan UPSR. Mungkin JAPIM atau pihak bertanggungjawab dalam Kementerian Pelajaran Malaysia dapat menjawab segala persoalan ini.

Wajibkan Pendidikan Islam dalam UPSR

1. Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)

Pada Tahun 6, pelajar akan menduduki peperiksaan UPSR ini bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Melayu (Kefahaman), Matematik dan Bahasa Inggeris. Lima subjek utama diberi perhatian sepenuhnya.

Bagaimanapun subjek Pendidikan Islam tidak diwajibkan peperiksaan tersebut. Oleh yang demikian dicadangkan agar ia diwajibkan dalam peperiksaan UPSR kerana ia amat penting terhadap pelajar sendiri dan menilai sejauhmanakah keberkesanan kurikulum pendidikan Islam. Seterusnya mencapai kecemerlangan pendidikan ke arah pembangunan rohani dan sumber manusia dan merealisasikan impian negara berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara dan Matlamat Kementerian Pelajaran sendiri.

…..secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani….

Petikan teks Falsafah Pendidikan Negara

Antara matlamat Kementerian Pelajaran ialah melahirkan insan yang beriman , berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera.

Kefahaman isi kandungan falsafah dan matlamat inilah faktor utama dicadangkan Pendidikan Islam diwajibkan dalam peperiksaan UPSR. Sesungguhnya nilai dan nadi sahsiah akhlak seseorang itu digilap dan diproses melalui saripati agama Islam. Proses pengajaran dan pembelajaran yang diakhiri peperiksaan adalah suatu kaedah umum yang dapat diterima untuk menilai dan mengukur seseorang itu.

Isnin, 27 April 2009

Wajibkan Pendidikan Islam dalam UPSR

Muqadimmah

Ini merupakan cadangan dan pandangan saya sebagai seorang guru pendidikan Islam yang terlatih dan telah berkhidmat selama 13 tahun di sekolah rendah dan berpengalaman mengajar subjek ini, terutama pelajar Tahun 6 yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Walaupun tanpa kajian dan penyelidikan yang sebenarnya, namun berdasarkan soal selidik secara rambang hampir keseluruhan guru-guru pendidikan Islam, guru-guru biasa, ibu bapa dan ahli-ahli akademik lain ada persamaan pandangan dengan saya. Bagi guru-guru pendidikan Islam pula, tanpa kajian pun jika diwajibkan nanti, saya percaya bahawa guru-guru akan sentiasa mengikut arahan Kementerian Pelajaran jika sesuatu perkara mendatangkan kebaikan kepada semua pihak terutama agama, bangsa dan negaranya.

Cadangan ini sudah lama difikirkan, namun ia adalah sekadar idea dari seorang guru biasa yang tidak mempunyai kuasa atau pengaruh . Justeru itu, bagaimana pula pandangan tokoh-tokoh akademik dan pihak yang bertanggungjawab dari Kementerian Pelajaran mengenai cadangan ini. Oleh kerana cadangan ini berhubung dengan keagamaan, mohon juga respon dan keperihatinan daripada ulama-ulama dan tokoh-tokoh keagamaan negara kita.

Cadangan ini nampak kecil namun harapan akan berlaku perubahan besar nanti demi memperkasakan Pendidikan Islam dan kecemerlangan syiar Islam di negara kita.